About

Saturday 31 July 2010

Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke 37 SBP

SBPI Rawang telah ditugaskan sebagai Jawatankuasa Dokumentasi dan Fotografi sepanjang pertandingan berlangsung. Pertandingan ini diadakan pada 31 Julai 2010 bertempat di Putra International Convention Centre(PICC), Putrajaya dan diadakan dalam dua sessi. Debat Bahasa Inggeris pada sebelah pagi manakala Debat Bahasa Melayu pada sebelah petang.

Sukan Tahunan Tadika Cahaya Al-Hakim

Dataran Raudhah SEPINTAR pada pagi ini dipenuhi kanak-kanak dari Tadika Cahaya Al-Hakim yang mengadakan Sukan Tahunan mereka. Disamping menyertai sukan ini, kanak-kanak ini dapat melihat suasana SEPINTAR dengan lebih dekat. Pengurusan Tadika ini boleh dihubungi di talian 019-2385911.

Majlis Qiamullail dan Solat Hajat Perdana

SEPINTAR pada pagi ini menganjurkan Majlis Qiamullail dan Solat Hajat Perdana dan mendapatkan sambutan menggalakkan daripada ibubapa. Lebih 100 ibubapa hadir seawal 3.30pagi dan sama-sama mengimarahkan masjid Al-Qadisiah. Solat diimamkan oleh Tn Hj Fathur Rahman bin Kasdiran, Mantan Pengetua SEPINTAR dan beliau juga telah sudi menyampaikan ceramah kepada jemaah selepas solat subuh. Terima kasih kepada semua yang hadir.

Pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform Daerah Gombak

Pertandingan unit beruniform daerah yang dijalankan di SMK Sri Kundang pada 31 Julai tempoh hari melibatkan unit-unit beruniform badan kerajaan  seperti Kadet Tentera Darat, Kadet Tentera Laut Kadet Bomba dan Kadet Polis. Bagi  bukan kerajaan diwakili oleh BSMM, St. John dan Puteri Islam. Kadet Remaja Sekolah (KRS) juga menghantar wakil. Walaupun BBSM yang diwakili oleh SEPINTAR gagal mendapat tempat tiga terbaik namun persembahan puteri-puteri SEPINTAR tidak mengecewakan. Kelemahan disebabkan kurang pengalaman dan pendedahan di peringkat yang lebih tinggi. Insyaallah, BBSM SEPINTAR akan meyahut cabaran untuk tahun hadapan. Sekalung tahniah dan penghargaan untuk pasukan BBSM puteri SEPINTAR di atas kejayaan melayakkan diri sebagai wakil BBSM daerah.

Dilaporkan oleh ,
Mohd Zamri Abu Zarin,
Guru Penasihat BBSM SEPINTAR 2010

Thursday 29 July 2010

Executive Talk "PnP Berkesan" oleh Pn Ashah Samah

Guru-guru SBPI Rawang telah menghadiri Executive Talk "PnP Berkesan" yang telah disampaikan oleh Pn Ashah Samah, Pengarah Bahagian Pengurusan SBPSK bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagiang SBPSK Cyberjaya. Program ini juga bagi memenuhi jemputan Puan Pengarah dan merupakan lawatan balas dari pihak SEPINTAR. Ini juga dikira sebagai Program Perkembangan Staf ke-2 bagi tahun ini. Semoga semangat guru-guru akan meningkat hasil dari program ini. Terima kasih kepada Puan Pengarah yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau dengan kami.

Wednesday 28 July 2010

Seminar Study in Japan

Pada petang ini, pelajar-pelajar Tingkatan 5 SEPINTAR telah menerima kunjungan wakil dari kedutaan Jepun khas untuk menjalankan Seminar Study in Japan. Taklimat telah disampaikan oleh Mr Watanabe Jun'ichi (Jamal) yang merupakan ketua guru-guru Jepun di Malaysia. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pn Hjh Senaini bt Long, Pengetua SEPINTAR. Perlajar-pelajar telah diberi pendedahan mengenai pemilihan kursus dan suasana pembelajaran di Jepun.

Tuesday 27 July 2010

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Piala Perdana Menteri ke-3

Menjelang Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri pada 31 Julai 2010, satu Mesyuarat Jawatankuasa kerja telah diadakan di Bahagian Pengurusan Sekolan Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Cyberjaya. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Puan Ashah Samah, Pengarah BPSBPSK. En Mohd Amirnudin hadir mewakili pihak sekolah yang telah dipertanggungjawabkan sebagai Jawatankuasa Dokumentasi dan Fotografi. Mesyuarat membincangkan perincian program dan satu lawatan tapak di PICC iaitu tempat pertandingan telah diadakan sejurus selepas mesyuarat.

Monday 26 July 2010

Program Menggapai Bintang SEPINTAR 2011-Kota Kinabalu

Pada 23-26 Julai yang lepas, pelajar-pelajar tingkatan 4 yang merupakan pelajar cemerlang PMR 2009 telah menyertai Program Menggapai Bintang 2011 di Kota Kinabalu. Pelbagai aktiviti telah diadakan dan penginapan telah disediakan oleh SMA Sabah. Program ini telah mendapat kerjasama dan sokongan dari Universiti Malaysia Sabah melalui UMS Link. SBPI Rawang yang merupakan Sekolah Angkat UMS telah mendapat layanan terbaik dalam meraikan pelajar-pelajar ini.

Sunday 25 July 2010

Rombongan Pemantau Jemaah Nazir, KPM

SEPINTAR pada hari ini menerima kunjungan 3 orang Jemaah Nazir khusus untuk membuat pemantauan perjalanan sekolah dan akan berada disini selama 2 hari. Majlis sambutan telah diadakan di bilik mesyuarat dan telah disajikan dengan Persembahan Hafazan serta Syarahan oleh pelajar SEPINTAR.

Tuesday 20 July 2010

Sambutan Lawatan Kerja Delegasi Kementerian Pendidikan Thailand

SBPI Rawang menerima Kumpulan Delegasi dari Kementerian Pelajaran Thailand pada pukul 4.00 petang. Para Delegasi telah diberi taklimat tentang perkembangan dan pencapaian pelajar-pelajar Darul Ansar. Majlis tamat jam 6 petang.

Monday 19 July 2010

Taklimat Tender Kebersihan dan Keselamatan daerah Gombak

Majlis Taklimat yang diadakan di Dewan Al-Aqsa SEPINTAR dihadiri oleh Pengetua Daerah Gombak, Pegawai Jabatan, PPD serta Kementerian

Sambutan Setahun Pn Hjh Senaini selaku Pengetua SEPINTAR

Pengetua SEPINTAR Pn.Hjh Senaini Long diberi sambutan mengejut di perhimpunan mingguan pagi ini sebagai meraikan setahun beliau menjawat jawatan pengetua di SBPI Rawang.
Acara memotong kek diceriakan lagi dengan hadiah dan cenderamata dari para pelajar.

Monday 12 July 2010

Pertandingan Menembak Kadet Polis Daerah Gombak 2010


Pasukan Kadet Polis SEPINTAR telah menghantar Pasukan 10 Putera dan 10 Puteri untuk menyertai Pertandingan Menembak Kadet Polis Daerah Gombak 2010 yang telah diadakan di Lapang Sasar Kuala Kubu Bharu hari ini. Pertandingan yang bermula dari jam 9.00 pagi telah tamat dengan selamatnya pada jam 3.30 petang. Keputusan pertandingan akan diumumkan dalam jangkamasa terdekat.

Sunday 11 July 2010

Pertandingan Futsal SEPINTAR U-16

Kelab Bola Sepak SEPINTAR telah berjaya menganjurkan satu pertandingan futsal sempena demam Piala Dunia 2010 tahun ini.Pertandingan ini telah disertai oleh 13 pasukan handal yang rata-ratanya merupakan pelajar bawah 16 tahun.Pertandingan ini telah berlangsung dari 20/6/2010 hingga 11/7/2010.KHKC FC telah berjaya muncul sebagai Johan bagi edisi kali ini.Pada peringkat akhir, KHKC telah bertemu dengan TekNik FC dan berjaya menewaskan pasukan tersebut dengan mata 5-1.Kejayaan kemenjadian kejohanan kali ini juga telah dikongsi dengan AJK Kelab Bola Sepak SEPINTAR dan diharapkan agar kejohanan sama akan dapat dilakukan lagi pada masa akan datang. 

Friday 9 July 2010

Hari Kemajuan Prestasi SEPINTAR 2010

Pada pagi ini Sabtu 10 Julai 2010, Hari Kemajuan Prestasi telah diadakan yang bertujuan sebagai saluran kepada pihak sekolah menyampaikan tahap pencapaian pelajar sehingga kini dan sebagai medan perbincangan diantara pihak sekolah dengan ibubapa. Hari Kemajuan Prestasi pada tahun ini melibatkan Tingkatan 1 hingga 5 berbanding pada tahun-tahun lepas cuma melibatkan Tingkatan 3 dan 5 sahaja. Taklimat program telah diadakan di Bilik Seminar dan Dewan Al-Aqsa manakala perbincangan berlangsung di Dewan Terbuka dan Dewan Al-Aqsa
Majlis yang berlangsung dari jam 8.30pagi dan dijadualkan tamat jam 1.00petang melabuhkan tirainya menghampiri jam 3.00petang kerana sambutan menggalakkan dari ibubapa dan pelajar.

Program Pelajar Darul Ansar sempena Hari Kemajuan Prestasi

Dibawah kendalian Pn Adawiah iaitu Kaunselor SEPINTAR, pelajar Darul Ansar ditempatkan di Makmal Komputer aras 3 dengan pengisian pelbagai aktiviti. Ini bagi memastikan pelajar-pelajar ini tidak terabai dalam kesibukan warga SEPINTAR menjalani Hari Kemajuan Prestasi.

Thursday 8 July 2010

Program Celik IT anjuran UNITAR

Seramai 35 orang ahli Kelab ICT SEPINTAR telah menyertai Program Celik IT anjuran Universiti Tun Abdul Razak sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran tentang isu dan perkembangan dunia IT. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Prof Dr Syed Malek F.D bin Syed Mustapha(gambar) Dekan Fakulti Teknologi Maklumat UNITAR sendiri.
Program yang diadakan di Kampus Utama UNITAR di Kelana Jaya ini bermula dari jam 9 pagi dan tamat pada jam 3 petang. Makan minum dan pengangkutan telah disediakan oleh pihak penganjur. Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian pihak Universiti menjemput kami dan berharap kami akan dapat menyertai lagi program yang diadakan oleh pihak universiti. Penyampaian sijil kepada peserta serta cenderamata menandakan penghujung program.

 

Subscribe to our Newsletter

Contact our Support

Email us: youremail@gmail.com

Our Team Memebers